KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Malaysia membawa bekalan selesa ke Jakarta selepas menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Ahad malam.
Mohd Safee Mohd Sali menjadi wira negara apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-59 dan 71, sementara Mohamad Ashari Samsudin menyumbang gol pada minit ke-67.
Perlawanan timbal balik akhir akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi menentukan siapa yang bakal menjulang kejuaraan edisi kali ini.
Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, Malaysia bermula garang dengan melakukan asakan bertali arus ke arah gawang Indonesia pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan yang selamat.
Skuad 'Harimau Malaya' dan skuad 'Garuda' masing-masing melakukan asakan demi asakan namun buntu dalam pencarian gol sehingga wisel rehat dibunyikan.
Selepas rehat, perlawanan yang baru bermula 10 minit dicemari dengan insiden pancaran laser oleh penyokong yang menyebabkan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl memprotes kepada pengadil, Toma Masaaki dari Jepun, dan akibatnya permainan terhenti selama lima minit bagi meredakan keadaan yang tegang di kalangan penyokong kedua-dua negara.
Sepanjang tempoh itu, keadaan dikeruhkan lagi apabila penyokong Indonesia mula membaling botol air mineral ke dalam padang dan diikuti oleh letupan bunga api yang dihalakan ke dalam padang oleh penyokong Malaysia.
Sejurus selepas itu, kedua-dua pasukan mula mempamer corak permainan yang lebih agresif namun anak didik bekas pemain kebangsaan, K. Rajagobal nyata lebih unggul apabila Safee Sali menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-59 hasil daripada lorongan bola yang diterima daripada Norshahrul Idhlan Talaha dalam kotak penalti.
Lapan minit kemudian, gawang Indonesia yang dikawal Markus Harison Rihihina sekali lagi dibolosi apabila Mohamad Ashari Samsudin, yang menggantikan Amirulhadi Zainal, membuat rembatan jarak dekat kira-kira dua meter dalam kotak penalti hasil umpanan Norshahrul yang terdahulu melepasi tiga benteng lawan.
Asakan bertubi-tubi pemain Malaysia sekali lagi berhasil menembusi gol Indonesia apabila Mohd Safee menanduk masuk bola hasil hantaran daripada luar kotak penalti oleh Mahalli Jasuli pada minit ke-71.
Tersentak dengan jaringan tiga gol, Indonesia cuba bangkit untuk mencari gol tunggal namun tidak berjaya hingga tiupan wisel penamat.
Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian anak buahnya.
"Pada separuh masa pertama pemain bermain dengan cara bertahan dan menukar taktik selepas rehat. Pada masa rehat saya beritahu pemain bahawa inilah sahaja peluang pemain untuk mendapat bekalan selesa ke Jakarta nanti.
"Saya berbangga dengan pencapaian malam ini walaupun perlawanan malam ini dicemari insiden yang kurang disenangi oleh para penyokong, namun pemain negara tidak hilang fokus," katanya.
Sementara itu Riedl berkata perlawanan timbal balik akhir merupakan tugas yang berat bagi pemainnya kerana mereka perlu mengatasi agregat gol yang besar untuk merangkul gelaran juara Piala AFF-Suzuki.
"Gol pertama Malaysia memulakan segalanya apabila pasukan Indonesia mulai hilang fokus terhadap permainan. Saya rasa peluang agak tipis untuk menang di Jakarta, tapi kami perlu ambil pelbagai risiko dalam perancangan nanti," katanya.
Bagi Mohd Safee yang menjadi penjaring terbanyak pada kejohanan ini dengan empat gol, katanya beliau tidak menyangka dapat menyumbang dua lagi gol pada malam ini.
"Saya sangat yakin dengan persembahan saya dan rakan-rakan yang lain dan kami akan membawa momentum ini Rabu nanti di Jakarta," kata Mohd Safee, sambil menambah beliau berhajat untuk bermain dalam liga yang kompetitif di Indonesia selepas ini jika diberikan peluang.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan