Tuesday, March 5, 2013

PENDUDUK PUKUL PENCEROBOH BERSENJATA M16 HINGGA MATI DI SEMPORNA


SEMPORNA, -- Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga
mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang
mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam
tadi.

Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti
lelaki itu.

Dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian
serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun
daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau
di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini.

Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan
tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa "saya yang menembak
polis malam tadi".

"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan
mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama
penduduk di dalam keadaan ketakutan.

-- LAGI

CEROBOH-BUNUH 2 (AKHIR) SEMPORNA

Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia
bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.
Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan
dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian
jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer
daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati
kepala lelaki itu berlumuran darah.

Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka
dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk
melarikan diri ke kawasan kampung lain.

Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.
Cubaan Bernama untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd
Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.


-- BERNAMA

0 comments: